Pada awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sebelum ini, orang ramai dilihat mengambil kesempatan itu untuk pulang ke kampung masing-masing kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga di kampung.

Namun, selepas sebulan tempoh PKP dikuatkuasakan, ramai yang mengeluh mahu pulang ke rumah kerana sudah terlalu lama berada di kampung.

“Kebanyakan mereka sudah berada di kampung lebih sebulan, banyak aduan kami terima ada cakap tiada pakaian sudah mahu dipakai, resah tinggalkan rumah sudah lama atau bimbang rumah dipecah masuk,” ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ada juga dipisahkan dengan anak-anak dan kami memahami keresahan mereka lebih-lebih lagi apabila mendengar kerajaan memberi kelonggaran kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi(IPT) untuk pulang ke kampung masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, ada bezanya kenapa kelonggaran diberikan kepada pelajar berbanding mereka yang terkandas di kampung.

“Mereka (pelajar) kita sudah tahu jumlah sebenar dan status kesihatan mereka kerana hanya berada di kampus,” katanya.

“Tetapi berbeza dengan mereka berada di kampung yang tinggal berselerak dan kita tidak tahu jumlah sebenar mereka,” sambungnya lagi.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, kerajaan perlu tahu jumlah mereka yang mahu merentas negeri kerana bimbang pergerakan besar-besaran akan berlaku nanti.

“Disebabkan itu, mereka yang berkeinginan untuk pulang ke rumah masing-masing perlu melapor diri kepada polis menerusi aplikasi dalam talian dinamakan GerakMalaysia yang dibangunkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 25 April ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tiada kemudahan Internet, anda boleh mendaftar di balai polis berdekatan dan harus membuat temujanji terlebih dulu dengan balai polis berkenaan.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sumber: Harian Metro