Kehilangan seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29 tahun, sejak 11 hari lepas masih lagi menjadi tanda tanya orang ramai kerana tidak dijumpai sehingga kini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), memutuskan untuk mengecilkan skala pencarian Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Ketua Zon 1 JBPM Perak Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Khairul Jamil, memberitahu bahawa operasi pencarian turut meliputi 24 kilometer persegi di luar laluan trek dan 6 kilometer persegi laluan balak di Hutan Simpan Bukit Kinta yang berhampiran trek 100 kilometer selain mencari di trek larian sejauh 25, 50 dan 100 kilometer.

“Sekiranya ada maklumat-maklumat terbaru, kita akan bertindak mengikut maklumat yang kita dapati,” ujarnya.

Difahamkan, operasi mencari Acap hari ini tertumpu di sekitar Gua Tempurung, termasuk kawasan di dalam gua berkenaan.

kosmo.com.my

Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd Rahman, menasihati orang ramai agar terus merujuk kepada polis jika ada pihak mengambil kesempatan dengan menawarkan pelbagai ganjaran dalam kes ini.

“Dalam kes orang hilang ini, ada juga yang pernah berlaku, tiba-tiba orang telefon waris mangsa, katanya ada maklumat, minta duit. Jadi, jangan percaya,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani