Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa hukuman kerja sosial seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput sedang dipertimbangkan bagi pesalah peraturan larangan merokok di tempat awam.

Gambar sekadar hiasan

“Hukuman denda akan membuat orang berfikir kalau ada duit boleh buat kesalahan. Jadi, saya melihat kepada hukuman kerja sosial ini dengan teliti,” ujarnya.

Menurutnya, dia turut mengingatkan warga kerja Kementerian Kesihatan(KKM) agar dapat memberi contoh yang baik kepada masyarakat dengan menghormati perintah larangan merokok berkenaan di premis KKM atau di tempat awam.

Tambahnya, Dr Dzulkefly terpaksa menerima hakikat ada warga kementeriannya sendiri tidak dapat berhenti daripada tabiat merokok.

Terdahulu, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran dan warung sama ada yang bertutup, berhawa dingin mahupun yang berkonsep terbuka termasuk di tepi jalan bermula 1 Januari 2019 lepas.

Perokok yang ditahan di kawasan larangan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Untuk pengetahuan anda, tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok pada awalnya ditetapkan selama enam bulan kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir Disember ini.

Selain itu, 129,180 premis sudah diperiksa sehingga kini dengan notis amaran larangan merokok sudah dikeluarkan mencecah 30,698.

Sumber: Astro Awani & Bernama