Melawan penyakit kanser bukanlah mudah kerana mereka memerlukan semangat juang yang tinggi selain perlu menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi untuk sembuh.

Seorang pesakit kanser pangkal hidung, Asuri Asri Yusof, berkongsi kisah dirinya yang berjaya tamat larian maraton sejauh 42 kilometer baru-baru ini walaupun sukar untuk menjalani latihan akibat kesan rawatan kanser yang dilakukannya sebelum ini.

Siapa sangka 9 bulan lepas aku masih lagi terlantar di ruang tamu rumah mak sambil menghitung saki baki hari sambil menangis hampir setiap malam menahan sakit kesan rawatan chemotheraphy (3 cycles) dan radiotheraphy (35 sesi).

Bayangkan sakitnya rawatan aku sampaikan aku tak mampu menelan sebarang makanan akibat luka luar dan dalam leher kesan radiotheraphy.

Aku hanya bergantung kepada tube di hidung utk minum selama lebih 2 bulan tanpa boleh makan langsung.

Berat aku drop mendadak lebih dari 11kg sehingga ditahan di wad HKL. Membuatkan aku menghargai nikmat setiap makanan.

Aku bersyukur aku masih ada keluarga, isteri, anak dan rakan2 rapat yg sentiasa memberi semangat utk aku teruskan lawan sakit ini.

KEPUTUSAN GILA

Sekitar bulan January semasa menunggu follow up dengan ENT Hospital Ampang, aku ambil satu keputusan mendaftar secara online acara marathon terbesar di Malaysia iaitu Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2019 (KLSCM) untuk menebus balik hutang tahun lepas yang mana aku dah register tetapi terpaksa batalkan sebab baru lepas operation di leher tanpa mengetahui yang aku boleh sempat recover dalam tempoh itu. Dan ini juga merupakan jarak yang belum pernah aku lari seumur hidup aku (Full Marathon 42km). Paling jauh aku pernah lari ialah 30km dan itupun 2 tahun lepas. Pada mulanya tiada siapa yang tahu keputusan aku daftar termasuk isteri dan rakan. Tapi aku beritahu isteri dan beliau bagi sokongan padaku untuk berlatih hanya jika keadaan badan betul-betul pulih.

Dan sepanjang tempoh itu aku memang tak boleh berlatih langsung akibat side effect lepas treatment yang mana deria rasa aku tak ada langsung selama hampir 6 bulan membuatkan aku lemah serta pemakanan tidak konsisten. Dan yang paling teruk ialah mulut aku tak mampu hasilkan sebarang air liur akibat kelenjar air liur yang dah rosak semasa rawatan radiotheraphy menyebabkan mulut aku sentiasa kering dan membuatkan aku terpaksa jauhi dari sebarang aktiviti sukan.

Sehinggalah 2 bulan lepas aku betul mula berlari sikit-sikit berbekalkan botol air di tangan untuk elakkan mulut kering. Seminggu dalam 3 kali aktiviti dengan jarak 2-3km per sesi. Kemudian aku tambah jarak ke 6km setiap sesi dengan pace 8:30-9:00min per km.

Dan sebulan sebelum event KLSCM, jerebu teruk melanda negara membuatkan aku terpaksa berhenti melakukan segala aktiviti luar rumah sambil mengharap yang KLSCM tidak dibatalkan seperti kes pada SCKLM 2015 (nama waktu dulu) dibatalkan akibat jerebu. Lebih-lebih lagi bagi aku yang sering menghidap masalah respiratori, serta sejarah aku sebagai pesakit Kanser Pangkal Hidung membuatkan aku pilih untuk tidak mahu ambil risiko.

Jadi aku pilih untuk buat aktiviti ringan seperti pumping, squating dan planking untuk kekalkan kecergasan. Dan seminggu sebelum event aku memberitahu rakan rapat dalam dunia larian yang aku nak buat ‘Virgin Full Marathon’ di event marathon terbesar di Malaysia ini. Tanpa sebarang aktiviti larian selama hampir 2 tahun membuatkan aku nervous untuk acara jarak 42km yang mana sesetengah pelari-pelari aktif pun gerun dengan jarak sejauh itu.

Tetapi aku sangat bersyukur rakan larian Ajez, Najmi, Arip, Sadiq dan Acan bagi full support pada aku sehinggakan Ajez dan Arip sanggup pilih untuk abaikan event kali ini demi teman aku habiskan distance acara ni. And the rest is history.

Siapa sangka target pada mulanya hanyalah untuk habis dalam 6 jam 30 minit, tetapi dengan sokongan rakan dan isteri aku mampu habiskan jarak larian dalam tempoh 5 jam 47 minit walaupun baki 12km tu aku banyak berjalan daripada berlari akibat cramp teruk di seluruh otot kedua belah kaki.

Aku tamatkan larian dengan air mata sebak kerana aku tak sangka pada saat aku di diagnos dengan Kanser Pangkal Hidung tahap 3 pada awal 2018, aku tak jangka langsung aku mampu habiskan larian jarak 42km yang mana waktu sihat dulu pun tak pernah terfikir untuk buat.

Terima kasih pada rakan-rakan, ahli group NPC dan ahli keluarga saudara mara yang sentiasa beri sokongan dari awal pada saat tempoh gelap untuk aku bangun dan lawan penyakit ni.

Aku ambil semangat arwah abang aku Mohd Ashraf Yusof yang juga merupakan seorang Cancer Fighter. October ni genap 8 tahun beliau tinggalkan kami. Kami berkongsi minat yang sama dalam larian sejak sekolah menengah lagi.

Aku doakan setiap orang apa jua penyakit yang masih dalam tempoh rawatan dan yang sudah habiskan rawatan tetap cekal dan positif untuk tempuh ujian yang dah ditetapkan untuk kita. Pentingnya sokongan orang sekeliling untuk kita terus lawan dan lawan. Semoga aku pun sentiasa diberikan peluang untuk merasai nikmat kesihatan ni supaya aku boleh teruskan bagi inspirasi pada kawan-kawan yang lain. InsyaaAllah.

Sumber: FB Asuri Asri Yusof