Teka-teki sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) dilanjutkan atau berakhir pada Selasa depan akan diumumkan dalam perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek, pada hari ini.

Difahamkan, perutusan khas tersebut akan disiarkan secara langsung pada pukul tiga petang menerusi saluran stesen televisyen tempatan serta rangkaian media sosial.

Sebelum ini, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac lalu, disusuli PKPB bermula 4 Mei berikutan penularan pandemik Covid19.

Pelaksanaan PKP dan PKPB jelas membuahkan hasil dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 berdasarkan statistik penurunan kes positif baharu dari sehari ke sehari, sekali gus membolehkan pembukaan beberapa sektor ekonomi lagi untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Berhubung situasi jangkitan kes positif Covid-19 yang dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, walaupun kembali melonjak ke tiga angka kepada 277 kes berbanding 93 kes pada hari sebelumnya, Malaysia dilihat semakin menghampiri situasi bebas Covid-19.

Semalam, pada sidang media harian perkembangan terkini Covid19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan daripada 277 kes, hanya enam kes melibatkan warganegara Malaysia, iaitu empat kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara manakala dua lagi adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan daripada luar negara.

Selain itu, Menteri Kanan(Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi temu bual untuk dokumentari mengenai PKP terbitan Bernama TV baru-baru ini, memaklumkan Malaysia bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap pendatang tanpa izin (PATI) pasca-pandemik Covid19.

“Ekonomi termasuk sektor pelancongan dilihat sangat terkesan dengan penularan Covid19, menyaksikan banyak hotel dan kilang bakal ditutup serta pembuangan pekerja berlaku sekali gus menyebabkan jumlah pengangguran meningkat,” sambungnya lagi.

Sumber: Bernama & Harian Metro