Bak kata pepatah, ‘gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya’ sesuai dijadikan pembakar semangat di kala kita sedang gagal dan mahu bangkit semula.

Walaupun pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), ia tidak bermakna anda tidak boleh mengubah nasib anda. Asalkan bijak mengambil peluang, kehidupan boleh berubah jauh lebih baik berbanding mereka yang berpendidikan tinggi.

Tiga anak muda lepasan Akademi Binaan Malaysia(ABM) Wilayah Timur, Muhamad Badiuzaman Ya abu Bakar, 33 tahun, Mohd Faizal Ismail, 35 tahun, dan Muhamamd Qamarul Auji Amran, 32 tahun, membuktikan bahawa walaupun pernah gagal SPM, mereka juga mampu berjaya dalam bidang masing-masing.

Difahamkan, mereka kini antara pelatih kemahiran dalam bidang kimpalan dan jururegah yang memperoleh pendapatan lumayan di antara RM15,000 sehingga RM19,000 sebulan sekaligus dilantik sebagai ikon Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET).

Muhammad Badiuzaman yang berasal dari Kampung Ibok, Kemaman, Terengganu, berkata bahawa dia mengambil kursus kimpalan selama dua bulan di ABM pada tahun 2003 selepas melihat arwah abangnya, Muhamad Hasbiallah, yang bekerja sebagai jurukimpal mendapat gaji tinggi.

“Saya sekolah fail(gagal), abang tanya kamu tak nak duit banyak ke sambil dia tunjuk wang gaji yang dibayar tunai. Kata-kata abang menyedarkan saya lalu ambil keputusan belajar kemahiran di ABM,” ujarnya.

“Masa mula-mula kerja gaji saya hanya RM1,400. Tahun 2010, saya diberi kepercayaan jadi jurukimpal di laut syarikat swasta dengan pendapatan mencecah RM19,000 sebulan,” jelasnya.

Kini, Badiuzaman yang mempunyai tiga anak berusia antara dua hingga enam tahun itu berkhidmat sebagai jurukimpal pelantar minyak sebuah syarikat milik Amerika Syarikat di Arab Saudi sejak tiga tahun lalu.

Malah, sebelum Arab Saudi, dia pernah menimba pengalaman berkhidmat di negara China, Hong Kong, Myanmar, Amerika Syarikat serta Dubai.

Gambar sekadar hiasan

Selain itu, Muhammad Qamarul Auji, dari Kuala Terengganu, pula kini boleh berbangga dengan usaha dilakukannya apabila berjaya menubuhkan syarikat kimpalan, perpaipan dan fabrikasi di Kemaman dan menggaji lebih 80 pekerja yang majoritinya lepasan bidang kemahiran.

“Keputusan SPM memang saya tidak layak masuk universiti. Biasalah, ada juga rakan yang mengejek saya kerana keputusan SPM teruk tetapi saya tidak marah kerana saya sendiri yang tidak mahu belajar,” katanya.

“Sampai satu tahap, saya rasa ingin memajukan diri sendiri jadi saya pun mula mencari jalan dan melakukan pencarian di internet sehinggalah saya terjumpa maklumat mengenai ABM dan sambung belajar di sana,” sambungnya yang mempunyai sijil dalam bidang perpaipan.

Menurutnya, dia bekerja makan gaji selama lapan tahun sebagai jururegah dengan gaji permulaan RM1,200 sebulan dan kemudian mengambil keputusan membuka syarikat sendiri pada tahun 2014 selepas berjaya mengumpul modal secukupnya.

Di samping itu, Mohd Faizal yang bekerja di Arab Saudi dan pernah memperoleh pendapatan lebih RM20,000 sebulan itu menjelaskan bahawa bidang kemahiran banyak membuka dimensi baharu kepadanya selepas gagal meraih keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Tambahnya, dengan hasil pendapatan diperolehinya itu dia mampu menghantar ibunya, Esah Mamat, menunaikan ibadah haji dan umrah selain membeli aset dengan tunai.

“Saya tidak sangka, kursus Sijil Kimpalan di ABM mengubah hidup saya dan anak-anak muda yang tidak memperoleh keputusan baik dalam pendidikan harus mengambil peluang ceburkan diri dalam bidang kemahiran,” sambungnya lagi.

Sumber: Sinar Harian