Bagi anda yang mahu merentas negeri, permohonan merentas negeri dibuka selama 24 jam saja mulai hari ini dan pemohon dinasihatkan supaya membuat temu janji lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di balai polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menjelaskan bahawa pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bermula hari ini (1 Jun) seperti arahan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, pemohon perlu hadir ke balai polis berhampiran dan perlu membawa bersama surat permohonan, surat lain berkaitan, permit pergerakan dimuat turun dari Facebook PDRM yang lengkap diisi serta salinan kad pengenalan pemohon.

“Kelulusan diberikan balai polis dan satu salinan permohonan diberikan kepada pemohon serta nombor siri kelulusan dari balai berkaitan,” ujarnya.

“Polis Johor akan memastikan setiap permohonan diterima membabitkan tujuan dibenarkan sahaja supaya pergerakan antara negeri berjalan lancar dan tidak menyulitkan pengguna jalan raya serta lebuh raya lain,” jelasnya.

“Polis Johor berharap masyarakat dapat memberi kerjasama mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan, menjaga keselamatan diri serta mengamalkan jarak sosial supaya dapat mengurangkan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang hadir ke balai polis untuk membuat permohonan itu perlu mengamalkan normal baharu.

Untuk pengetahuan anda, kerajaan membenarkan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) kepada pasangan suami isteri yang berjauhan, selain urusan kecemasan, kematian, perubatan, serta mereka yang bekerja berulang-alik antara negeri.

Sumber: Harian Metro