Hari ini, tujuh perokok gagal dalam permohonan mereka untuk mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) pada 1 Jan lalu.

Gambar sekadar hiasan

Individu tersebut adalah Mohd Hanizam Yunus, 52 tahun, Zulkifli Mohamad, 56 tahun, Mohd Laisani Dollah, 46 tahun, Mohd Sufian Awaludin, 35 tahun, Ridzuan Muhammad Noor, 52 tahun, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 tahun dan Yuri Azhar Abdollah, 39 tahun, selaku pemohon.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya, menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan oleh tujuh individu tersebut terhadap KKM selaku responden, berpendapat bahawa kesemua pemohon telah terkhilaf apabila menyatakan hak untuk mereka merokok akan terhakis sama sekali dengan adanya peraturan larangan merokok berkenaan.

Menurutnya, responden telah mengambil kira faktor kepentingan awam apabila menetapkan jarak tiga meter bagi membolehkan perokok untuk merokok di premis makan.

“Pemohon-pemohon atau perokok masih boleh merokok di luar pada jarak tiga meter daripada tempat makan dan menjadi tanggungjawab perokok bagi memastikan puntong rokok dibuang di tempat yang disediakan,” ujarnya.

“Oleh itu, untuk kesemua pemohon menyatakan bahawa hak mereka telah terhakis dan dicemari dengan larangan merokok di premis makan adalah tidak berasas,” jelasnya.

Selain itu, hakim turut menegaskan bahawa ketidakpuasan pemohon-pemohon yang mewakili perokok ialah mereka ingin melepaskan hajat atau keinginan merokok di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

“Perbuatan merokok di premis makan menjadikan udara persekitaran tidak bersih dan asap rokok juga menggangu orang yang tidak merokok di premis makan. Pemohon-pemohon tidak dihalang untuk menikmati makanan hingga larut malam selagi mana mereka merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

Mengenai isu bahawa pemohon tidak diberi hak untuk berunding dengan responden sebelum larangan rokok dikuat kuasa, Hakim Mariana menyatakan bahawa rundingan awam yang dilaksanakan dengan sesuatu agensi atau pihak-pihak dibuat atas budi bicara responden dan ia bukan suatu hak kepada pemohon-pemohon.

“Oleh yang demikian, ia terpulang kepada responden untuk mengadakan rundingan awam atau tidak bersesuaian dengan perkara yang hendak diputuskan,” tambahnya.

Hakim Mariana berkata menurut responden, usaha untuk melaksanakan larangan merokok di premis makan telah bermula sejak 2004 sehingga 2019 iaitu mengambil masa selama 15 tahun dan beberapa siri perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkenaan telah dilaksanakan pada 2009, 2015 dan 2018.

“Responden dalam afidavitnya menyatakan orang awam dipelawa untuk memberi maklum balas kepada pihak responden berhubung pelaksanaan larangan merokok di premis makan dan tempoh maklum balas daripada orang awam ini telah diberi sehingga 18 Mei 2018,” sambungnya.

“Bagaimapun, tiada mana-mana pemohon menyatakan maklum balas atau bantahan mereka mengenai pelaksanaan larangan merokok sejak tahun 2015 atau sejak ia mula dicadangkan 15 tahun yang lepas,” kata hakim itu yang turut memaklumkan bahawa tawaran responden untuk orang ramai memberi maklum balas sehingga 18 Mei 2018 melalui laman web KKM adalah memadai dan yang pasti tiada sebarang aduan atau bantahan daripada kesemua pemohon berhubung larangan merokok itu sejak ia dicadangkan,” ujarnya.

Hakim Mariana berkata selepas mempertimbangkan permohonan pemohon-pemohon dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pihak responden telah bertindak dalam bidang kuasanya dan keputusan larangan merokok di premis makan tidak bertentangan dengan Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga tidak dicemari dengan ketidaksahan, tidak rasional atau salah prosedur yang membolehkan mahkamah ini memberikan suatu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden untuk menguatkuasakan larangan merokok di premis-premis makan yang dicadangkan dikuat kuasa pada 1 Jan 2019,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Mahkamah dengan ini menolak permohonan semakan kehakiman pemohon-pemohon dan tiada perintah untuk kos,” katanya.

Dalam permohonan yang difailkan pada 18 Feb tahun ini, kesemua pemohon yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, antara lain, mendakwa bahawa larangan merokok tersebut bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Mereka mendakwa rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepi dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan melalui larangan merokok dan ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kesemua pemohon berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Selain Mohamed Haniff, kesemua pemohon turut diwakili peguam Datuk M. Reza Hassan manakala KKM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Turut hadir dalam prosiding itu, beberapa badan bukan kerajaan termasuk Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Aktiviti Kawalan tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) Roslizawati Md Ali.

Sumber: Astro Awani