Berikutan penularan wabak Covid19 yang masih belum pulih sepenuhnya sehingga kini, tiada majlis atau sambutan Hari Raya Aidilfitri diadakan di Istana Arau, Perlis, pada tahun ini.

Menurut kenyataan Istana Arau, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Adalah dimaklumkan bahawa memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada masa kini belum dapat dibendung sepenuhnya,” ujarnya.

“Mengambil kira faktor-faktor keselamatan dan kesihatan rakyat jelata, Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis mengampuni perkenan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau yang lazimnya diadakan setiap tahun di Dataran Majlis, Istana Arau pada Hari Raya Pertama tidak diadakan pada tahun ini bersama 1441H/2020M,” jelasnya.

“Semoga wabak Covid19 ini akan segera diatasi dan seluruh rakyat diberikan kesihatan serta keselamatan oleh Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, negeri Perlis merupakan negeri terawal yang membatalkan solat Jumaat dan digantikan dengan solat Zohor di rumah akibat wabak Covid19 pada Mac lepas.

Selain itu, solat tarawih dan sebarang aktiviti pengimarahan masjid termasuk iftar Ramadan di Perlis juga ditangguhkan sehingga hujung bulan ini.

Sumber: Harian Metro