Sekiranya terdapat keperluan mendesak, barulah pelaksanaan akad nikah dalam talian atau melalui sidang video ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) akan dilaksanakan di negeri Perlis.

Gambar sekadar hiasan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis(JAIPs), Dr Hazman Hassan, menyatakan bahawa jika akad nikah dalam talian perlu dilaksanakan di negeri tersebut, ia haruslah berpandukan irsyad fatwa daripada Jabatan Mufti Perlis.

Menurutnya, antara faktor pelaksanaan yang masih belum diguna pakai di Perlis adalah kerana situasi penularan wabak Covid-19 di negeri itu masih berada di paras rendah atau sederhana.

“Pelaksanaan akad nikah melalui sidang video adalah perkara yang baik dan boleh mencegah perkara tidak baik antara pasangan bakal pengantin,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Namun, melihatkan keadaan di Perlis yang masih dikategorikan sebagai zon hijau, kita masih mengguna pakai kaedah sedia ada dengan pernikahan terhad atau hanya dihadiri oleh enam individu iaitu jurunikah, wali, dua saksi bersama dua pengantin,” jelasnya.

Terdahulu, negeri Selangor mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan melaksanakan majlis akad nikah melalui sidang video ketika tempoh PKP.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, memaklumkan kebenaran itu diberikan dengan syarat bakal pengantin sudah mendapat kelulusan khas daripada pihaknya.

Sumber: Harian Metro