Perlawanan Arsenal menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris malam semalam tidak disiarkan secara langsung oleh siaran rasmi kerajaan China, CCTV.

Menurut Bloomberg, CCTV sebaliknya telah menyiarkan semula permainan Tottenham Hotspur, yang merupakan saingan terbesar Arsenal, bersama Wolverhampton Wanderers.

Difahamkan, perkara itu terjadi berikutan komen dikeluarkan oleh Özil yang mengkritik layanan terhadap masyarakat etnik minoriti Uighur di Xinjiang, China.

Bintang bola sepak beragama Islam dan berketurunan Turki itu memuat naik kenyataannya kira-kira 48 jam sebelum pasukannya bermain menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Jumaat lalu, Özil mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial yang mendakwa umat Islam hanya berdiam diri berhubung penindasan etnik Uighur di China.

Twitter ilmfeed

“Quran dibakar. Masjid ditutup. Sekolah Islam, madrasah diharamkan. Ulama dibunuh seorang demi seorang. Namun begitu, umat Islam semua berdiam diri,” tulisnya.

“Tidakkah mereka tahu bahawa membiarkan penganiayaan itu sendiri adalah satu penganiayaan? Saidina Ali, menantu Nabi Muhammad berkata, ‘Sekiranya anda tidak boleh elak penganiayaan, dedahkannya’,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani