Awal pagi tadi dilaporkan kawasan kompleks Masjid Al-Aqsa mengalami kebakaran semasa Gereja Notre Dame di Paris, Perancis, terbakar pada waktu yang sama.

Menurut Newsweek, terdapat satu rakaman di media sosial menunjukkan asap dan api keluar dari bumbung Masjid Marwani dan Kandang Kuda Nabi Sulaiman.

Difahamkan, api mula marak dari bilik pengawal terletak di luar bumbung masjid terbabit namun ia berjaya dipadamkan oleh anggota bomba pihak berkuasa wakaf.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Al-Aqsa dan Jabatan Wakaf Baitulmaqdis, Sheikh Azzam al-Khatib, menjelaskan bahawa kebakaran berpunca daripada perkarangan masjid dan maklumat awal mendapati ia mungkin berpunca daripada perbuatan kanak-kanak yang bermain di situ.

Untuk pengetahuan anda, Masjid Marwani terletak di bahagian bawah sudut tenggara antara Al Haram Al Sharif yang menempatkan Kubah Batu dan Masjid Al Aqsa.

Sumber: Harian Metro