Sebelum ini, perintah berkurung di kawasan perairan merangkumi tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (EssZone) telah dibuat, namun kini ia dilanjutkan sehingga 11 Mei depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, menjelaskan bahawa perintah berkurung baru akan bermula esok(26 April) pukul enam petang dan berkuatkuasa selama 24 jam di bawah Seksyen 31(1) Akta Polis 1967.

Menurutnya, perintah berkurung ini akan dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri selama 14 hari di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967 mulai dari Sabtu ini (27 April) hingga 11 Mei ini pukul enam petang.

Difahamkan, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara pukul enam petang sehingga enam pagi pada tarikh berkenaan.

Perintah itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

freemalaysiatoday.com

Tujuan perintah berkurung itu diteruskan adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

Di samping itu, ia juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan, masih terdapat cubaan untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Selain itu, Omar turut memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di EssZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung.

Sumber: Astro Awani & Bernama