Bermula esok hingga 27 Mac depan, perintah berkurung akan dikenakan di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

borneotoday.net

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, memberitahu bahawa perintah berkurung itu dikenakan di beberapa kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Menurutnya, perintah berkurung baru itu bermula pukul enam petang esok dan berkuatkuasa selama 24 jam. Selepas itu, perintah berkurung akan dilanjutkan selama 14 hari bermula Rabu(13 Mac) hingga 27 Mac pukul enam petang.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara enam petang hingga enam pagi pada tarikh dinyatakan,” ujarnya.

Difahamkan, tujuan perintah berkurung itu diadakan adalah untuk memastikan kawasan perairan terlibat tidak dicerobohi pengganas yang boleh mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan di samping pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

themalaysiantimes.com.my

Malah, perintah berkurung itu juga dapat memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot dan memberi rasa selamat kepada pengusaha chalet dan nelayan berikutan kehadiran pasukan keselamatan.

Berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang melakukan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan masih cuba menceroboh kawasan sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” sambungnya.

Sumber: Sinar Harian