Seorang gadis berasa amat terkejut apabila penyertaannya dalam larian maraton di sebuah sekolah di Ohio, Amerika Syarikat, dibatalkan hanya kerana dia berhijab.

Noor Alexandria Abukaram, 16 tahun, memasuki acara maraton di sekolah tinggi Sylvania Northview telah pun berjaya tiba di garisan penamat, tetapi penyertaannya dibatalkan kerana dia tidak menghantar borang kebenaran untuk berhijab kepada pihak penganjur iaitu Persatuan Atlet Sekolah Tinggi Ohio(OHSAA).

Menurut Noor, dia tidak menyedari namanya telah digugurkan daripada acara maraton sehinggalah dia melepasi garisan penamat.

“Saya tidak tahu nama digugurkan, malah berjaya melepasi garisan penamat sejauh 5 kilometer dengan rekod 22 minit 22 saat. Apa yang berlaku ini sungguh mengecewakan,” ujarnya dalam nada sebak.

Malah, dia juga sukar untuk menerima alasan pihak penganjur kerana baginya, memakai hijab adalah satu kewajipan.

nytimes.com

“Tudung adalah sebahagian daripada hidup saya dan jika mereka meminta saya membuka tudung jika mahu menyertai maraton, ia adalah satu tindakan yang sangat memalukan,” jelasnya.

Menurut kenyataan wakil OHSAA, peserta berhijab perlu mengemukakan borang kebenaran untuk berhijab ketika menyertai pertandingan.

Walau bagaimanapun, Noor tidak menyerahkan apa-apa borang sekaligus melanggar tatacara pemakaian pertandingan tersebut.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian