Bukan mudah untuk berada dalam industri hiburan kerana banyak dugaan yang perlu ditempuhi sepanjang bergelar seorang artis.

Itulah yang dihadapi oleh seorang penyanyi Orang Kurang Upaya(OKU), Nur Zafiena Anissa, atau lebih dikenali sebagai Fina yang mempunyai impian untuk menceburi bidang muzik.

Walaupun matanya tidak boleh melihat, namun lagu nyanyian Fina, Tuhan Jagakan Dia, diminati ramai dan tular di media sosial.

Dalam namanya semakin dikenali, dia juga tidak terkecuali daripada terkena kritikan dan hinaan mengenai kekurangan dirinya.

Mengikut temubual Fina bersama penyampai radio Sinar FM, Abby Fana, dia tidak sangka lagu nyanyiannya diterima orang ramai hingga video nyanyian di laman Youtube mencecah 2.6 juta tontonan.

Ada Tak yang rindu Fiena #popexpressntv7 #SenyumSelalu

A post shared by Tuhan Jaga Dia Untukku??? (@officialfina_) on

Ketika menceritakan pengalaman pahit pernah dialaminya sepanjang bergelar artis, Fina bercerita mengenai seorang Hamba Allah pernah menghina kekurangannya hanya kerana segelas air sejuk.

“Dia cakap (air sejuk) habis. Masa tu Fina okay lagi. Dan kebetulan adik Fina ada dan Alhamdulillah masa tu Allah dekatkan adik Fina di situ dan terus Fina minta air darinya,” ujarnya sambil memberitahu masa itu dia tidak sihat dan mahu minum air sejuk kerana demam serta haus.

Dia hairan mengapa individu tersebut perlu menipu kepadanya mengenai air sejuk dan bertanya kepadanya untuk menjawab persoalan bermain di mindanya ketika itu.

“Dia menjawab, ‘kau dah la buta, buta buat cara butalah. Ada mak bapak menyusahkan orang’. Memang masa tu Fina kena baling pinggan oleh dia,” jelasnya.

Menurutnya, dia menangis selepas dihina sebegitu sedangkan dia percaya individu tersebut boleh menyokongnya tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Walau bagaimanapun, dia berfikir secara positif dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan jika dia menghadapi situasi seperti itu.

Selain itu, dia juga memberi nasihat kepada orang di luar sana yang mempunyai anak OKU supaya jangan menggunakan alasan itu untuk maju di dalam hidup. All the best, Fina!

Sumber: Hijabista