Pendapatan penyanyi nasyid di negara ini terkesan sejak penularan wabak Covid19 tiga bulan lalu dan berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, membuat cadangan dan usaha untuk membantu mereka dengan memberi peluang kepada penyanyi nasyid untuk bertugas sebagai Bilal Rawatib di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Untuk permulaan, sebanyak 20 sehingga 30 kekosongan disediakan untuk memberi peluang kepada penyanyi nasyid yang hilang punca pendapatan.

Baru-baru ini, Pengerusi Biro Dakwah & Tarbiyah Munsyid Malaysia, Muhammad Hazamin Harun, menjelaskan bahawa pihaknya sudah menghantar semua permohonan untuk diproses kepada Zulkifli pada satu pertemuan yang diadakan bersama Majlis Usahawan Nasyid Malaysia(Munsyid Malaysia).

Menurut Hazamin yang juga anggota kumpulan Inteam, dia berharap usaha sama turut dibuka di negeri lain bagi memberi peluang kepada anggota Munsyid yang berada di negeri-negeri lain.

“Alhamdulillah, kita menerima 30 permohonan dan sudah menyerahkan serahkan semua nama kepada Zulkifli dalam pertemuan beberapa minggu lalu. Dia ambil maklum nama itu untuk diproses,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Saya secara peribadi melihat peluang diberikan menteri terhadap Munsyid melambangkan keprihatinan beliau terhadap nasib penggiat seni terutama penyanyi nasyid,” jelasnya.

“Alhamdulillah, itu juga memberi kepercayaan kami yang mana ramai juga penyanyi nasyid terdiri daripada lepasan pengajian agama, syariah dan sebagainya,” katanya.

“Mungkin yang ada kelulusan dalam bidang agama dari Universiti Al Azhar, Mesir atau bidang pengajian al-Quran dan sebagainya. Mereka yang berkelulusan ini juga ramai berada dalam Munsyid,” tambahnya dengan harapan pihak Jabatan Agama Islam negeri lain dapat membuka peluang Munsyid untuk memohon jawatan Imam Rawatib.

Sumber: Harian Metro