Mulai Ahad ini, harga siling runcit terbaru bagi penutup muka jenis tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen sekeping daripada RM1.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyatakan harga maksimum bagi penutup muka jenis tiga lapis di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen.

“Harga baru ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” ujarnya.

Menurutnya, harga siling runcit bagi penutup muka satu lapisan pula ditetapkan tujuh sen sekeping, penutup muka dua lapisan 20 sen sekeping manakala penutup muka N95 pada RM6 sekeping.

Difahamkan, peniaga yang gagal mematuhi perintah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Malah, pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala pesalah syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sumber: Harian Metro