Terkini, penumpang pesawat AirAsia berpeluang melayari Internet ketika penerbangan pada ketinggian 30,000 kaki dengan sambungan Internet tanpa wayar (WiFi) yang dinaik taraf syarikat penerbangan itu.

Perkhidmatan WiFi itu kini boleh dilanggan oleh penumpang pesawat AirAsia pada harga mampu milik bermula serendah RM9 bagi data 10MB. Selain itu, mereka turut menyediakan pilihan data seperti 20MB, 50MB, 100MB dan 200MB masing-masing pada harga RM18, RM38, RM48 dan RM58.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, perkhidmatan WiFi itu dikuasakan oleh ROKKI, juga menyediakan segmen hiburan dalam penerbangan itu menawarkan sambungan Internet berkelajuan tinggi kepada penumpang AirAsia. Tambah beliau, setakat ini enam pesawat dikendalikan AirAsia Malaysia dan dua pesawat kendalian AirAsia Thailand dilengkapi dengan platform Ka-band.

Ka-band menawarkan pengalaman hiburan dan penyambungan (IFEC) yang dipertingkatkan melangkaui jalur lebar asas, menyokong video secara langsung dan penstriman muzik.

“Kami mempunyai perancangan memperkukuhkan penawaran perkhidmatan WiFi ini bagi seluruh rangkaian AirAsia Malaysia berbanding 55 pesawat setakat ini.

“Bagaimanapun, enam pesawat sudahpun tersedia dengan infrastruktur WiFi dengan platform Ka-band dan 49 pesawat belum dinaik taraf serta masih menggunakan platform L-band.

“Kami berharap menjelang tahun depan, perkhidmatan WiFi yang dinaik taraf ini dapat disediakan kepada semua 97 pesawat AirAsia Malaysia,” katanya selepas sesi pengalaman penggunaan perkhidmatan WiFi AirAsia dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching di sini, semalam.

Riad berkata, selain perkhidmatan WiFi, platform itu turut menyediakan segmen hiburan, muzik, permainan, berita dan ruang beli-belah dalam talian kepada penumpang.

“Caranya begitu mudah, penumpang hanya perlu melayarinya melalui peranti mudah alih peribadi dengan sambungan secara percuma di mana-mana pesawat yang dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro