Walaupun harga durian boleh dikatakan agak murah sekarang berbanding musim lepas, terdapat sebilangan orang yang tidak mampu untuk membeli apatah lagi merasa keenakan raja buah itu.

Oleh itu, seorang penjual durian membuat keputusan untuk memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan makan secara percuma di gerainya yang terletak di Simpang Renggam, Johor Bahru.

Menurut Rosnah Ahmad, 33 tahun, dia sedar bahawa masih ada golongan seperti anak yatim yang tidak mampu untuk menikmati durian walaupun harga dijual agak murah.

Kemudian, dia dan suami menganjurkan satu majlis untuk menjamu kira-kira 20 anak yatim dan keluarga mereka yang tinggal sekitar Simpang Renggam dengan durian dan manggis pada Ahad lalu.

Rosnah mendapat idea itu apabila gerainya didatangi oleh seorang kanak-kanak lelaki anak yatim yang berusia 10 tahun, baru-baru ini.

“Kanak-kanak itu menyatakan ingin memakan durian, namun tidak memiliki wang untuk membelinya. Biarpun harga durian rendah berbanding pada musim buah-buahan sebelum ini, namun saya tidak sangka masih ada golongan tidak mampu membeli dan apa salahnya saya berkongsi rezeki dengan cara seumpama ini,” jelasnya.

Difahamkan, jamuan percuma tersebut diadakan bermula pukul 5 petang hingga 6.30 petang di gerai durian Rosnah.

“Saya amat bersyukur dan gembira dapat berkongsi rezeki dan memenuhi keinginan mereka berusia empat hingga 15 tahun untuk makan durian,” katanya yang sangat memahami perasaan kanak-kanak berkenaan kerana dia seorang ibu kepada lapan orang anak.

“Kebanyakan impian mereka tidak tercapai kerana faktor kewangan keluarga dan sebagai masyarakat penyayang, saya terpanggil untuk memenuhinya,” sambungnya.

Rosnah menjual pelbagai jenis durian termasuklah IOI, 88, Benut King, D24, D13, D17, Udang Merah serta durian kampung.

Sumber: Harian Metro