Baru-baru ini telah viral satu kisah dimana pembeli nasi lemak menjumpai duit didalam bungkusan nasi lemak. Selalunya, apabila kita beli nasi lemak, biasanya akan ada lauk sambal tumis, telur rebus, ikan bilis beserta kacang goreng, dan timun di dalamnya.

Namun lain pula pengalaman seorang lelaki ini apabila dia menjumpai RM5 yang diselitkan didalam nasi lemak yang dibelinya. RM5 itu dijumpai bersama nota kecil yang disimpan kemas dalam plastik kecil untuk mengelakkan terkena sambal dan lauk lain.

Ameerul Hayat, pembeli nasi lemak itu telah berkongsikan pengalaman tersebut di laman Facebook. Menurut Ameerul, nasi lemak tersebut sebenarnya dibeli oleh rakan isterinya di sebuah gerai yang terletak di Taman Saujana Kota Tinggi, Johor

“Nasi lemak ini dibeli rakan isteri. Dia beli enam bungkus. Bila buka ada duit, saya terkejut. Terus WhatsApp hantar gambar dan tanya bini, apa maksudnya? Bini saya jawab mungkin peniaga tersebut nak bersedekah sebab duit itu terletak elok dalam plastik takut kotor kena sambal,” katanya.

Tambah Ameerul lagi, ini kali ketiga rakan isterinya membeli nasi lemak berharga RM1.50 sebungkus di gerai terbabit dan baru kali ini terdapat duit di dalamnya.

Baru-baru ini seorang pengguna Twitter @hznietlib turut berkongsikan nasib yang sama apabila mendapati ada nota RM5 dalam nasi lemaknya. Semoga murah rezeki peniaga nasi lemak yang berhati mulia itu.

Sumber:SAYS