Walaupun bazar Ramadan tiada pada tahun ini disebabkan Covid-19, para peniaga bazar mengambil peluang untuk berniaga secara dalam talian demi mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, kebanyakan peniaga atau penjual makanan telah pun bersedia dengan kedatangan bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam itu.

Seorang peniaga, Masthorah Ardi, 53 tahun, berasal dari Klang, menggunakan khidmat ambil sendiri atau self pick-up di rumahnya manakala anaknya turut membuat penghantaran makanan ke rumah pelanggan.

“Duit bantuan (Bantuan Prihatin Nasional) yang kerajaan bagi itu belum tentu cukup sampai hujung puasa,” ujarnya kepada Bernama sambil menyatakan dia harus berniaga bagi menampung perbelanjaan anak-anaknya termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya(OKU).

Selain itu, Siti Marsyitah Abdullah Sahad, 34 tahun, berasal dari Putrajaya, mempunyai perniagaan food truck menyatakan dia tidak kisah jika tidak dapat menjalankan perniagaannya pada bulan Ramadan ini kerana dia mempunyai perniagaan sambilan lain iaitu butik secara dalam talian.

Gambar sekadar hiasan

“Saya mempunyai rancangan sandaran, kadangkala saya akan memasarkan perniagaan Butik Online ketika berniaga food truck kepada pelanggan dan sambutannya amat menggalakkan,” katanya.

“Jadi saya tidak risau sekiranya tidak dapat menggerakkan food truck kerana saya mempunyai butik dalam talian yang diusahakan bersama adik saya untuk pakaian Aidilfitri,” jelasnya.

Selain itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia(GPPPKM) Mohamed Zamri Mohammed berkata pihaknya meneruskan pelaksanaan platform ‘Warong Digital’ di seluruh negara bagi memudahkan pelanggan mendapatkan juadah berbuka dalam talian.

“Di Wilayah Persekutuan misalnya, kami mendapat kerjasama daripada syarikat penghantaran dan perkhidmatan runner untuk membantu para penjaja menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan sekaligus menggantikan bazar Ramadan,” katanya.

“Walaupun mereka tidak dapat berniaga secara besar-besaran di tapak, sekurang-kurangnya platform ini dapat membantu mereka menjana pendapatan ketika bulan Ramadan,” sambungnya lagi.

Sumber: Astro Awani & Bernama