Perhatian bagi peniaga durian kerana anda bakal berdepan kompaun RM1,000 jika anda didapati menipu alat timbang hingga membuatkan harga naik mendadak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, menyatakan tindakan itu bertujuan menghalang taktik licik peniaga mengaut keuntungan berlebihan secara salah.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak akan bertolak-ansur jika mereka didapati melanggar Seksyen 17 Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu menggunakan atau memiliki alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan.

“Tindakan menipu alat timbang tidak wajar berlaku. Walaupun KPDNHEP tidak berkuasa mengawal harga komoditi durian tetapi peniaga diingatkan mematuhi undang-undang,” ujarnya.

“Selain sukatan harga, mereka juga diwajibkan meletakkan tanda harga bagi barangan yang dijual untuk mengelakkan kekeliruan pengguna,” jelasnya.

Berikutan itu, peniaga disarankan menentu ukur atau ‘calibrate’ alat timbang sekali dalam tempoh enam bulan.

Setakat ini, satu aduan diterima melibatkan kes di Perak dan kompaun terhadap kesalahan itu telah dikeluarkan kerana menipu dengan menggunakan alat timbang dan sukat tidak sah.

Gambar sekadar hiasan

Pengguna dinasihatkan lebih bijak dan mengetahui hak mereka sebagai pengguna terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

“Gunakan hak anda sebagai pengguna ketika berbelanja bagi mengelak dimanipulasi oleh peniaga,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga durian, Mohd Latif Mohd Rani, 36 tahun, yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu menyatakan peniaga tidak mempunyai kuasa mengawal harga kerana bergantung kepada pasaran.

“Harga durian pada masa ini tidak menentu, hari minggu harga melambung, untuk kaut untung tak seberapa. Kadangkala hanya balik modal,” ujarnya.

“Kalau durian longgok biasanya hanya dapat balik modal. Kebanyakan harga mengikut pasaran Johor kerana sekarang durian banyak dari sana,” jelasnya.

“Buat masa ini harga sekilogram bagi durian kampung RM13, durian biasa RM25 manakala harga durian yang popular termasuk musang king dalam lingkungan RM35 ke atas,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian