Di Malaysia, ramai peniaga di negeri Kelantan terkejut apabila menerima arahan menutup kedai daripada pukul 8.30 malam sehingga 10.00 malam sepanjang bulan Ramadan oleh setiausaha kerajaan negeri Kelantan.

Namun, lain pula kisah di Madinah kerana peniaga di sekitar Masjid Nabawi boleh memilih untuk menutup kedai atau tidak sepanjang tempoh solat terawih berlangsung.

Menurut peniaga di sana, mereka tidak menerima arahan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi supaya menutup kedai, namun terpulang kepada mereka jika mahu berbuat demikian.

Peniaga kedai kurma, Umar Mohamad, 19 tahun, menyatakan bahawa ada di antara peniaga masih meneruskan perniagaan mereka seperti biasa ketika solat terawih berlangsung di Masjid Nabawi.

“Bagaimanapun, ada juga yang mengambil keputusan menutup kedai. Mereka ini biasanya mahu turut serta bersolat tarawih,” ujarnya.

Difahamkan, tempoh peniaga menutup kedai biasanya hingga selesai empat rakaat solat tarawih. Walau bagaimanapun, semua peniaga akan menutup kedai semasa masuk waktu solat fardu.

“Saya tak pasti sama ada tindakan menutup kedai untuk solat fardu ini wajib. Tapi memang sejak dulu peniaga biasa berbuat begini,” jelasnya.

“Di sini ada peniaga yang tutup kedai tetapi ada juga yang teruskan. Biasanya mereka tutup kedai dalam satu atau dua jam. Selepas itu akan berniaga semula “ kata seorang peniaga, Muhammad Akhtar Abdullah, 27 tahun.

Selain itu, ada juga peniaga tidak menutup kedai pada tempoh tersebut kerana kedai mereka masih dikunjungi oleh ramai pelanggan.

“Namun begitu, ada peniaga memikirkan tindakan menutup kedai lebih berkat. Apa pun terpulang kepada masing-masing,” sambungnya.

Kesimpulannya, menutup atau menghentikan operasi kedai sementara waktu pada waktu solat adalah lebih berkat. Bulan Ramadan hanya muncul sekali setahun dan inilah masanya untuk kita mengejar pahala sebanyak mungkin.

Apa pun, terpulang kepada pemilik kedai jika mereka mahu menutup atau tidak kerana mereka juga mencari rezeki halal untuk kelangsungan hidup.

Sumber: Sinar Harian