Sudah masuk hari kedua berpuasa, tapak bazar Ramadan akan menjadi semakin sesak kerana dipenuhi orang ramai yang mahu membeli juadah untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah.

Difahamkan, peniaga bazar Ramadan yang menggunakan telefon bimbit, memakai jam tangan dan perhiasan diri ketika mengendalikan makanan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang(JKNPP), Ku Nafisah Ku Ariffin, menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil kerana ada peniaga yang gagal mematuhi peraturan pemakaian dan penjagaan kebersihan yang ditetapkan.

Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan tahun lepas, sebanyak 128 notis membabitkan nilai kompaun berjumlah RM18,200 dikeluarkan kepada peniaga yang gagal mematuhi syarat ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Gambar sekadar hiasan

Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah berkaitan kebersihan premis, pekerja tidak mendapat suntikan Typhoid serta masalah pakaian pengendali makanan.

“Keseluruhan kutipan dari kompaun yang kita dapat adalah RM18,200, agak banyak. Kita lihat banyak berlaku ketidakpatuhan kepada peraturan kebersihan makanan yang telah kita tetapkan, jumlah kutipan tu agak besar,” ujarnya.

“Kita harap tahun ini tak lah sebanyak ini, sebab kita dah beri taklimat, sepatutnya mereka ikut apa yang diberikan,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani