Sebanyak 3,398 Taman Asuhan Kanak-Kanak atau dikenali sebagai Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia(JKM) di Semenanjung Malaysia akan menerima diskaun 20 peratus bil elektrik mulai November tahun ini sehingga Disember tahun 2020.

Difahamkan, inisiatif itu diberikan hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) selaras Program Galakan Pendaftaran Taska dijalankan KPWKM.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, menjelaskan bahawa kementerian berharap inisiatif ini akan dapat mengurangkan beban dan kos ditanggung pemilik serta pengusaha taska.

Menurutnya, diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus yang diberikan adalah hasil penjimatan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif(IBR) yang dilaksanakan Tenaga Nasional Bhd(TNB) di Semenanjung Malaysia.

“Pemberian ini adalah berdasarkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan untuk memantau operasi taska di negara ini,” ujarnya.

“Dianggarkan populasi taska bagi kanak-kanak di bawah empat tahun di negara ini adalah berjumlah 40,000 namun, hanya 11.9 peratus atau 4,744 buah daripadanya sudah berdaftar dengan dengan JKM,” jelasnya.

Hannah Yeoh berharap lebih ramai pengusaha taska berdaftar dengan JKM dan sekaligus meraih peluang diskaun bil elektrik itu.

Tambahnya, pemberian diskaun itu hanya terpakai kepada pemilik dan pengusaha taska yang berdaftar dengan JKM di Semenanjung Malaysia dan taska itu juga dikenakan bil elektrik di bawah kategori tarif komersil(Tarif B) oleh TNB.

“Selain itu, bagi taska yang sudah berdaftar dengan JKM, pemberian diskaun akan bermula 1 November ini sehingga 31 Disember tahun depan. Bagi taska yang akan berdaftar dengan JKM, pemberian diskaun akan bermula mulai 1 November ini atau pada tarikh mereka berdaftar sehingga 31 Disember 2019,” katanya.

Difahamkan, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan Sarawak Energy Bhd(SEB) serta Sabah Electricity Sdn Bhd(SESB) supaya pemilik dan pengusaha taska di Sarawak dan Sabah dapat menikmati diskaun yang diberikan.

Untuk pengetahuan anda, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi program diskaun bil elektrik tersebut.

Sumber: Harian Metro