Berikutan penguatkuasaan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak(CRS) mulai tahun depan di negara ini, tiada sebarang saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menjelaskan bahawa kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia. Kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30 peratus sahaja pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak,” ujarnya.

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat. Kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” jelasnya. 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Oktober lalu mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak jika berlaku kemalangan.

Gambar sekadar hiasan

Menurut Anthony Loke, pihaknya juga mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan(SST) daripada 10 peratus kepada lima peratus daripada Kementerian Kewangan(MOF).

“Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

Selain itu, dia turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta badan bukan kerajaan(NGO) serta swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS.

Difahamkan, terdapat pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

Sumber: Astro Awani & Bernama