Isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semakin hangat diperkatakan apabila kerajaan akan memberi pengecualian cukai tersebut yang melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memberitahu pengecualian itu harus diberikan kepada sewaan warung-warung kecil dalam perkarangan kedai selepas menerima banyak maklum balas daripada peniaga kedai makanan dan minuman.

“Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Jadi itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

Menurut Anggota Parlimen Bagan itu, penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun juga akan diberi pengecualian cukai SST.

Tambahnya, kerajaan telah bersetuju bahawa nilai ambangan kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta setahun bagi makanan dan minuman.

“Pengecualian SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambangannya kurang daripada RM500,000 ini akan membantu peniaga untuk mengurangkan bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain,” jelasnya.

Sumber: mStar