Gara-gara lewat dibayar upah, seorang pengasuh tergamak mendera seorang bayi berusia 14 bulan hingga tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) 25 Oktober lepas.

Bayi malang itu berada dalam keadaan kritikal kerana dipercayai tidak diberi makan dan minum hampir tiga minggu.

Gambar sekadar hiasan

Akibatnya, bayi perempuan itu turut diserang penyakit sawan serta jangkitan kuman pada paru-parunya. Malah, pemeriksaan perubatan turut mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kepala kanak-kanak berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, bertindak atas laporan pihak hospital, polis telah menahan seorang wanita berusia 23 tahun dua hari lepas di Batu Kawa bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku ada memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan botol susu di kepala sebanyak dua kali dan tangan supaya kanak-kanak itu berhenti menangis,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Difahamkan, suspek nekad bertindak demikian kerana marah kepada ibu bayi perempuan itu yang lewat membayar upah.

Kanak-kanak itu dijaga oleh pengasuh tersebut selama tiga minggu dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam manakala kali terakhir ibu mangsa berjumpa dengan mangsa adalah pada 23 Oktober lalu kerana terpaksa bekerja.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sumber: Astro Awani