Tidak disangka bahawa pengasuh yang mengasuh anak seorang wanita sejak lapan bulan lalu rupa-rupanya seorang penagih dadah.

Perkara itu diketahui ibu kepada anak asuhan tersebut selepas pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan(AADK) Kubang Pasu, Jitra, Kedah, menghubunginya dan memaklumkan bahawa anak lelakinya berusia empat tahun diasuh pasangan itu turut dibawa ke pejabat AADK.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu ditahan pukul tiga petang semalam di Taman Mahsuri, semasa berada dalam rumah bersama dua anak mereka berusia lapan dan lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki yang diasuh.

Kemudian, kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu sebelum dua anak pasangan itu diserahkan kepada keluarga mereka, manakala kanak-kanak lelaki yang diasuh itu diserahkan kembali kepada ibunya.

Ibu kepada kanak-kanak yang diasuh pasangan berkenaan, dikenali sebagai Nor, 41 tahun, menyatakan bahawa dia sudah lama mengenali wanita yang mengasuh anaknya kerana tinggal berjiran dengan rumah ibunya.

Berikutan itu, dia percaya untuk meninggalkan anaknya untuk diasuh oleh wanita tersebut.

Difahamkan, Nor bekerja dengan sebuah agensi swasta di Kuala Nerang, manakala suaminya bekerja di Perak.

“Saya terkejut dan tak sangka sebab apabila tengok keadaan rumahnya memang bersih dan anak saya pula dijaga dengan baik,” ujarnya.

“Saya tak syak apa-apa sebelum ini walaupun dia kerap pinjam duit sebab nak guna mungkin beli dadah, malah saya bayar dia RM250 sebulan untuk jaga anak,” jelasnya.

Ujian saringan awal terhadap pengasuh wanita dan suaminya mendapati mereka positif methamphetamine.

Pengasuh mengatakan dia mengambil dadah selepas dipaksa suaminya yang juga penagih tegar.

“Lepas ini saya akan cuba berhenti kerana ini kali pertama saya ditahan AADK dan tak pernah lagi kena tangkap,” katanya.

“Sebelum ini kami menetap di Kuala Lumpur dan suami sudah ambil dadah sejak di sana sebelum kami ambil keputusan untuk pulang ke sini untuk berubah tapi tak boleh sebab abang saya pun turut terbabit dengan dadah,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro