Sebelum ini, pihak kerajaan mengumumkan harga runcit petrol akan kembali ditetapkan secara mingguan bermula 1 Januari tahun depan. Walau bagaimanapun, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan itu hanya akan dilaksanakan sebelum akhir minggu pertama 2019.

thestar.com.my

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memberitahu bahawa buat masa ini harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel kekal pada harga RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Menurutnya, berikutan harga minyak mentah global yang lemah ketika ini, mekanisme penetapan mingguan akan lebih menguntungkan pengguna.

Ini kerana harga runcit petrol di pam berpotensi turun sekiranya harga minyak mentah global kekal lemah tahun depan seperti yang dijangka.

“Kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia(PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan,” katanya.

“PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Automatic Pricing Mechanism(APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum,” jelasnya.

PDAM sebelum ini memberikan dua cadangan untuk menggantikan mekanisme penetapan harga secara mingguan iaitu mekanisme Margin Pengusaha Stesen Minyak(DGM) dan penjualan secara konsainmen.

Di bawah sistem DGM, sekiranya harga minyak turun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak tersebut akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak serta mereka akan mendapat pampasan daripada syarikat minyak sekiranya mengalami kerugian.

Gambar sekadar hiasan

Bagaimanapun sekiranya harga minyak meningkat selepas stesen minyak membuat pesanan, stesen akan membayar bayaran gantian kepada syarikat minyak.

DGM memastikan margin keuntungan stesen minyak kekal pada 10 sen seliter, tidak kira sama ada harga minyak mentah global meningkat atau menyusut.

Penjualan secara konsainmen pula bermakna stok di stesen adalah milik syarikat minyak, dan pengusaha stesen hanya menjual selaku ejen.

Ini bermakna pengusaha stesen minyak mendapat komisyen bagi setiap liter dijual, dan tidak akan menanggung apa-apa risiko perubahan harga.

Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, memberitahu bahawa mekanisme penetapan harga mingguan yang mahu diguna pakai kerajaan akan menyebabkan harga runcit petrol bertukar dengan kerap, sekali gus menyebabkan margin keuntungan stesen minyak tidak menentu.

Selain itu, Lim Guan Eng mengatakan pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri akan diperoleh dalam mesyuarat pada 2 Januari 2019 bagi mencari mekanisme penetapan harga runcit petrol yang paling optimum.

Sumber: Astro Awani