Semalam, seorang penerbit televisyen sambilan maut manakala anak lelakinya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Jalan Klang Lama, Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

Semasa kejadian pukul 1.10 pagi, Mohd Hezle Mohd Helan, 44 tahun, memandu kereta Honda City meninggal dunia di lokasi kejadian, namun anaknya, Mohamad Hezwan, 9 tahun, patah peha kanan.

Abang kepada allahyarham, Mohd Helme, menyatakan bahawa kereta dinaiki dua anak beranak itu juga hampir terbakar selepas kereta dipandu seorang lelaki hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh arwah.

Difahamkan, pemandu terbabit dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika memandu hingga menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

“Adik saya baru sahaja pulang dari Filipina selepas terbabit dalam membuat liputan kejohanan Sukan SEA 2019 di Manila,” ujar abang arwah Hezle.

“Anak arwah pula masih dirawat dalam wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di mana doktor akan membuat pembedahan bagi kecederaan patah peha kanannya,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati pemandu Ford Ranger berusia 36 tahun itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan kemudian merempuh mangsa menyebabkan ia berpusing serta hampir terbakar.

“Bagaimanapun orang awam sempat memadam kereta yang terbakar dan membawa mangsa keluar sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala anaknya dihantar ke PPUM,” katanya.

“Mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro