Rakyat beragama Islam di negara ini boleh membuat semakan dan mengesahkan arah kiblat petang ini apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah.

Menurut kenyataan Planetarium Negara, penentuan arah kiblat boleh dilakukan dengan memerhati bayang-bayang matahari dihasilkan objek tegak tepat pada pukul 5.27 petang waktu Malaysia.

“Orang ramai hanya perlu mencari objek tegak seperti dinding bangunan, tiang elektrik dan rangka tingkap yang tegak atau menggantung objek berat dengan talinya yang menegak menghasilkan bayang-bayang menghala arah Kaabah,” tulisnya.

“Fenomena ini berlaku sebanyak dua kali dalam setahun iaitu pada setiap 28 Mei dan 16 Julai dan bayang-bayang yang terhasil bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” jelasnya.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyaksikan fenomena gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada hari esok(Rabu) bermula pada pukul 4.01 pagi dan berakhir jam 6.59 pagi waktu Malaysia.

“Gerhana kali ini akan mencapai peringkat maksimum pada jam 5.30 pagi yang mana pada waktu itu hampir separuh permukaan bulan dilindungi umbra(bayang-bayang) bumi,” ujarnya.

Berikutan itu, Planetarium Negara juga akan dibuka kepada orang awam bermula pukul 2 pagi esok dan menyediakan beberapa teleskop bagi memudahkan orang ramai menyaksikan fenomena tersebut.

Sumber: Harian Metro