Peraturan baru akan dilaksanakan tidak lama lagi iaitu khemah-khemah buat para pendaki Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, akan berteraskan peraturan patuh syariah.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, khemah-khemah penginapan buat pendaki bujang lelaki dan perempuan di kaki gunung tersebut akan dipisahkan.

Peraturan baru itu akan diperkenalkan oleh Agensi Taman Nasional Gunung Rinjani(TNGR) dalam usaha pemerintah tempatan menyokong industri pelancongan halal di Lombok, Nusa Tenggara Barat.

“Perkara ini masih dibincangkan, kami dalam usaha untuk melaksakan peraturan itu,” kata Ketua TNGR, Sudiyono.

Menurutnya, pada ketika ini, agensi berkenaan memperkenalkan peraturan berteraskan syariah itu pada pihak swasta dan berkepentingan.

Malah, dia turut memberi jaminan bahawa terdapat ruang yang mencukupi untuk memisahkan khemah bagi pengunjung lelaki dan wanita.

Gambar sekadar hiasan

“Kami perlu mengasingkan (kawasan khemah) khemah lelaki di sebelah kanan dan khemah wanita di sebelah kiri,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa peraturan itu hanya tertakluk untuk pendaki yang belum berkahwin.

Tambahnya, pasangan pendaki yang sudah berkahwin dibenarkan duduk dalam khemah yang sama. Peraturan baru itu akan diperkenalkan kepada orang awam pada bulan depan.

Untuk pengetahuan anda, idea pelaksanaan peraturan baru itu dikemukakan oleh masyarakat tempatan di persekitaran Gunung Rinjani.

Masyarakat di kawasan pelancongan itu percaya bahawa kejadian gempa bumi yang berlaku tahun lalu disebabkan aktiviti tidak bermoral dilakukan pendaki.

“Ini merupakan cadangan kami kepada kerajaan dan kami berharap akan dapat menawarkan pengalaman yang menyenangkan kepada pendaki,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani