Seorang nelayan berbangsa Cina, Lim Lip Kok, 43 tahun, meminta maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas keterlanjurannya mengadakan ritual di sebuah tokong di Perak dengan berpakaian seperti orang Islam, baru-baru ini.

Menurutnya, dia sangat menyesal dengan perbuatannya itu yang telah menyinggung perasaan umat Islam dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.

“Saya minta maaf, saya minta maaf, saya minta maaf. Kelakuan saya yang tidak sengaja dan tidak berniat langsung telah menyebabkan ketidakselesaan bagi rakyat Malaysia dan menyinggung perasaan orang Melayu,” jelasnya.

Permohonan maaf Lim dibuat dalam Bahasa Mandarin dan kemudiannya diterjemahkan oleh Setiausaha Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Cheah Han Boon.

Sebelum ini pada 7 Jun lalu, rakaman gambar seorang lelaki melakukan pemujaan di Tokong Datuk Kong, Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang, Perak, tular dengan memakai kopiah putih dan berkain pelikat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan umat Islam.

Sumber: Astro Awani & Bernama