Negara ini gempar dengan kes pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan setelah mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan, Pahang, pada Sabtu lepas.

facebook.com

Menurut polis, punca pembunuhan Siti Masitah Ibrahim, 11 tahun, dipercayai kerana berdendam terhadap keluarga mangsa.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh dengan kejam pada hari sama dia dilaporkan hilang dari rumah iaitu pada 30 Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Othman Nayan, memberitahu bahawa pihaknya telah menahan seorang lelaki Kemboja berusia 23 tahun sehari selepas menerima laporan mengenai kehilangan mangsa.

“Lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu merupakan kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung. Pada awal soal siasat suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan kanak-kanak itu tetapi setelah mayat ditemui, suspek mendedahkan penglibatannya berkait kehilangan mangsa,” ujarnya.

mingguanwanita.my

“Hasil pengakuan awal suspek, polis merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” sambungnya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan oleh ‘probable head injury’ selain terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri dan bahagian atas tengkorak sebelah kiri yang dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

“Saya ingin menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat kehilangan organ-organ badan mayat berkenaan yang kononnnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia. Kami tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna itu boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang,” jelasnya.

Suspek tersebut ditahan kira-kira pukul dua pagi pada 31 Januari lalu di simpang masuk ke Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, selepas saksi mengatakan melihat mangsa membonceng motosikal bersama suspek pada hari sama dia dilaporkan hilang.

Sumber: Malaysiakini & Bernama