Setelah tular kisah sebuah kereta Perodua Kancil uzur dikesan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang sebelum ini, pihak polis peronda menerima maklumat bahawa lelaki misteri yang memandu kereta tersebut melawan arus di Jalan Baru, Perai, Bukit Mertajam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah(SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, memberitahu pihaknya menerima maklumat pada 4.30 petang dan anggota polis yang tiba di lokasi mengarahkan pemandu tersebut berpatah balik.

Difahamkan, lelaki berpakaian tidak terurus itu menjelaskan keretanya rosak dan polis mengarahkannya pergi ke sebuah bengkel kereta di Taman Mas.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami dapati pemandu lelaki berusia 45 tahun dan berasal dari Raub, Pahang itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau dadah,” ujarnya.

“Namun, kami mengeluarkan saman terhadapnya kerana cukai jalan serta lesen memandu tamat tempoh dan kesalahan tidak mempunyai nombor pendaftaran di hadapan dan belakang kereta,” jelasnya.

Selain itu, tiada rampasan atau tangkapan dilakukan terhadap pemandu Kancil berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu didaftarkan atas nama seorang lelaki berasal dari Tanjong Bungah, Georgetown.

Sumber: Harian Metro