Akibat tertidur selama setengah jam di depan lampu isyarat, seorang lelaki di dalam sebuah kereta BMW berwarna putih disangka sudah meninggal dunia oleh orang awam.

Orang ramai menyedari kejadian tersebut semasa melalui Jalan Pinang ke Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang, apabila kereta itu dilihat tidak bergerak walaupun lampu isyarat telah bertukar kepada warna hijau.

Panik dengan keadaan itu, pengguna jalan raya termasuk pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak, bersama kru yang kebetulan berada di kawasan tersebut membantu mengejutkan lelaki berkenaan.

Melalui video dimuatnaik oleh jurufoto peribadi Zizan Razak, @amir_yasin berdurasi 1 minit 38 saat di laman Instagram, rakaman itu kini tular di media sosial.

Orang ramai dilihat cuba mengetuk tingkap dan pintu kereta serta menggoncangkan badan kereta, namun tiada respon daripada pemandu kereta berkenaan.

Selepas beberapa minit, orang ramai bertindak memecahkan cermin tingkap pintu belakang menggunakan tukul besi dan berjaya membuka pintu pemandu.

IG @amir_yasin

“Kejut, goncang kereta tak jalan so terpaksa ambil jalan terakhir pecahkan cermin kereta,” tulis Amir.

Kemudian, orang ramai yang lain terus mengejutkan lelaki itu dan ternyata dia hanya tertidur malah tergamam melihat keretanya dikerumuni orang ramai selepas terjaga.

Sumber: Sinar Harian