Mulai awal tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan ganjaran diskaun tanpa tuntutan(NCD) insurans kenderaan kepada pengguna jalan raya yang berhemah dan mempunyai rekod bersih daripada sebarang kesalahan trafik.

roketkini.com

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menjelaskan bahawa perbincangan mengenai perkara itu sudah dibuat bersama pihak industri insurans malah mekanisme mengenainya hampir siap.

“Memang sudah dibincangkan di Kementerian Pengangkutan bersama pihak industri insurans. Harapan saya supaya dapat dilaksanakan mulai awal tahun depan, jadi saya akan umum hujung tahun ini,” ujarnya.

“Kita memerlukan data Mysikap dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) dalam memastikan pengguna tidak ada saman dalam tempoh setahun bagi mendapatkan diskaun tambahan ini,” jelasnya.

Terdahulu, perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengenai cadangan memberi diskaun bayaran premium insurans kereta kepada pemandu berhemah berada di fasa terakhir.

Tambahnya, cadangan ganjaran itu berbentuk pengurangan premium insurans kepada pemandu yang mempunyai rekod bersih daripada saman atau kesalahan jalan raya.

Difahamkan, pelaksanaan ganjaran berkenaan bukan saja dapat mengurangkan statistik kesalahan, malah mengurangkan kos sara hidup dihadapi pengguna yang menikmati diskaun berkenaan.

“Untuk pihak industri insurans, ia juga baik dan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ kerana jika persekitaran jalan raya lebih baik dan kemalangan dapat dikurangkan, tuntutan insurans juga dapat dikurangkan,” katanya.

“Syarikat insurans dapat keuntungan besar jadi, tidak rugi memberi diskaun dan ini juga satu cara kita dapat integrasi usaha bersama pelbagai pihak,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro