Meskipun Pele baru melangkah di persada muzik arus perdana, penyanyi yang menggunakan nama komersial Pele L ini mempunyai misi tersendiri dalam memperkenalkan bakat. Pele tidak menafikan masih ada pihak yang skeptikal dengan usahanya apabila memperjuangkan genre muzik hip hop.

Namun, Pele atau nama sebenarnya Muhammad Zulfadzly Abdul Latif, tetap dengan pendirian selagi berjuang mengetengahkan sesuatu yang positif, dia tidak perlu takut dengan persepsi umum.

“Khalayak sering mengaitkan hip hop dengan masalah sosial, namun lagu yang saya hasilkan lebih cenderung kepada nasihat dan mesej positif untuk dihayati pendengar.

“Saya juga bebas daripada dadah dan mahu kekal dengan imej bersih. Sebelum ini, saya aktif menyertai kempen menyemai perkara positif seperti antibuli di sekolah lama di Taman Melawati, Hulu Klang.

“Saya mahu terus mempromosikan nilai murni bagi membuktikan dunia hip hop bukan semata-mata terarah kepada unsur negatif,” katanya yang pernah menyertai program 16 Baris yang dianjurkan Joe Flizzow.

Sudah lima tahun Pele mengasah bakat nyanyian, namun baru kini menumpukan fokus pada bidang seni selepas menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang.

“Baru sekarang saya berpeluang menyanyi sepenuh masa, selain menyimpan impian untuk membawa bakat ke luar negara.

“Sebelum ini, saya lebih cenderung pada penulisan lagu, namun bersyukur kerana ada sahaja permintaan dan undangan nyanyian yang diterima, sekali gus membuatkan saya bersemangat mengukuhkan nama,” katanya.

Tampil dengan single duet bersama Tuju K-Clique berjudul She, Pele berkata, ia adalah lagu pertama yang mengetengahkan namanya di arus perdana.

Sumber: BH Online