Selepas lima tahun bergelar pelakon dalam industri Bollywood, pelakon filem Dangal, Zaira Wasim, 18 tahun, mengumumkan penarikan diri sebagai pelakon, baru-baru ini.

Menurutnya, alasan dia berbuat demikian adalah kerana kehidupan sebagai pelakon merosakkan hubungannya dengan Allah SWT dan sekaligus membuatkan hidupnya tidak teratur.

Tambahnya, bergelar anak seni telah mengganggu kehidupannya sebagai seorang Muslim dan dia turut mengakui bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri serta memenuhi keperluan industri perfileman India.

“Ia sebuah perjalanan memenatkan, sejak sekian lama jiwa saya sentiasa berkecamuk, hidup ini singkat. Oleh itu, hari ini saya mengambil keputusan secara rasmi untuk bersara dalam arena perfileman,” tulisnya di laman sosial Instagram.

“Semoga Allah mengurniakan kita hidayah serta petunjuk untuk meredakan setiap keraguan dan kesilapan yang dilakukan selama ini. Diharapkan kita saling membantu antara satu sama lain untuk menjadi Muslim sejati. Semoga Allah membersihkan hati kita daripada sifat munafi dan sombong,” jelasnya.

Sebelum ini, Zaira membintangi filem Dangal di samping hero ternama Bollywood, Aamir Khan, yang merupakan sebuah filem mengupas kisah seorang ahli gusti amatur India yang bercita-cita melihat anak perempuannya menjadi juara gusti.

Untuk pengetahuan anda, Zaira merangkul Anugerah Pencapaian Luar Biasa bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak untuk lakonannya dalam filem tersebut.

Terbaru, dia juga baru selesai menamatkan pengambaran filem terbarunya The Sky Is Pink yang turut menampilkan pelakon Priyanka Chopra.

Sumber: Astro Awani