Sebuah pusat tahfiz di Kampung Rantau Panjang, Klang, mewajibkan semua pelajarnya mempelajari ilmu dan seni kungfu.

Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith(Muqwa), ditubuhkan pada 2011 itu mewajibkan semua pelajarnya bermula daripada umur tujuh hingga 18 tahun untuk belajar pelbagai seni bela diri atau dikenali sebagai mix martial arts(MMA).

Difahamkan, idea tersebut muncul apabila pengetua dan pengasas pusat tahfiz, Amran Johari, 42 tahun, mahu mencari kelainan agar pelajar-pelajar kekal cergas terutama dalam sesi pembelajaran pada waktu pagi.

“Jadi, saya wajibkan semua pelajar mengikuti enam latihan bela diri antaranya silat, kungfu, tinju, Jiu-Jitsu, Jeet Kune Do dan Ninjitsu,” ujarnya.

“Kita dedahkan semua seni pertahanan diri itu kepada pelajar dalam bentuk campuran yang mana setiap satunya boleh diikuti dengan lancar dan berkesan,” jelasnya.

Menurutnya, bagi memastikan tumpuan pelajar terhadap pelajaran tidak terganggu, kelas sukan bela diri tersebut hanya diadakan pada setiap Jumaat pukul 9 malam.

“Niat kita membuka peluang mempelajari seni bela diri ini bukanlah untuk mengalakkan pelajar bergaduh sebaliknya kita mahu pelajar lebih yakin apabila berdepan situasi yang mendesak seperti berdepan dengan penjenayah,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

“Namun, ilmu al-Quran tidak boleh diketepikan dalam proses mempelajari seni bela diri kerana ia adalah asas yang perlu dimiliki pelajar untuk menjadi Muslim yang baik,” sambungnya.

“Apabila kita berkungfu atau melakukan seni bela lain, secara tidak langsung otak kita akan lebih cerdas kerana darah yang mengalir menjadi lebih lancar,” ujarnya.

Setakat ini, tiada ibu bapa yang bimbangkan keselamatan anak mereka semasa belajar seni bela diri, malah lebih yakin berikutan anak mereka mempunyai skil berkenaan.

“Lazimnya ibu bapa yang menghantar anak ke pusat tahfiz mempunyai impian untuk melihat anak mereka berjaya mengejar ilmu Allah SWT. Jadi, mereka menyerahkan tugas itu kepada guru,” tambahnya.

“Apabila ibu bapa tahu seni bela diri termasuk dalam silibus pelajaran, mereka sangat gembira kerana anak mereka boleh mempelajari skil yang sukar untuk didapati di luar,” katanya.

Selain itu, penduduk di kawasan sekitar itu juga berpeluang mempelajari seni bela diri dengan dikenakan yuran bulanan rendah di mana separuh daripada yuran terbabit disumbangkan kepada operasi pusat tahfiz berkenaan.

Sumber: Harian Metro