Seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun bersekolah di sebuah maahad tahfiz meninggal dunia dipercayai dipukul rakannya dalam kejadian di Lanchang, di Temerloh, semalam.

says.com

Semasa kejadian sekitar pukul satu tengah hari, mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, menjelaskan bahawa mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan tidak lama kemudian.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada badan mangsa. Sehubungan itu, kita menahan tiga rakan mangsa yang juga pelajar tahfiz yang berusia 13 tahun untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, sekolah tahfiz berkenaan hanya mempunyai empat pelajar sahaja termasuk mangsa dan ia baru mula beroperasi sejak Januari tahun ini.

Siasatan awal mendapati mangsa mula belajar di sekolah tahfiz itu pada pertengahan Oktober lalu bersama abang tirinya.

Selain itu, siasatan turut mendapati maahad berkenaan beroperasi tanpa mendapat kebenaran dari Jabatan Agama Islam Pahang(JAIP).

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, dan bedah siasat akan dilakukan pada hari ini. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro