Pihak kerajaan akan memberikan sarapan percuma kepada semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara bermula Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menjelaskan bahawa inisiatif itu diperkenalkan untuk memastikan pelajar-pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

“Anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari,” tulisnya di laman Facebook.

“Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) amat mengambil berat aspek pemakanan murid dan sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk memastikan anak-anak kita perutnya sentiasa terisi dengan makanan berkhasiat,” jelasnya.

Difahamkan, para pelajar akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma melalui program sarapan percuma khas untuk anak-anak sekolah rendah di seluruh negara.

“KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan penuh kegembiraan,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani