Seorang pelajar sekolah tular di laman Twitter apabila rakannya memuatnaik gambarnya yang sedang duduk keseorangan semasa menjadi rider dahmakan secara sambilan, baru-baru ini.

Pelajar tersebut, Muhd Irwan Shah, 16 tahun, memberi penjelasan berhubung gambar berkenaan yang dikongsi oleh rakan sekerjanya, Muhammad Ariff Azhar Mohd, 23  tahun.

“Buat masa ini, ibu dan ayah memberi keperluan yang mencukupi cuma saya memilih bekerja sambilan sebagai penghantar makanan kerana mahu berdikari dan menimba pengalaman,” ujarnya.

Difahamkan gambar tular itu turut menceritakan serba ringkas tentang latar belakang Irwan.

Kebanyakan warga laman sosial memuji kesungguhan Irwan kerana bijak mengisi masa terluang dengan bekerja sambilan dan mendoakan remaja berkenaan dimurahkan rezeki.

“Sebenarnya, baru hari ini saya tahu mengenai gambar yang tular itu dan rasa terkejut selepas melihat ramai memberi maklum balas dengan segelintir bersedih kerana simpati dengan nasib saya,” katanya.

“Sebenarnya, saya bukan datang daripada keluarga susah atau terlalu senang, tetapi sederhana saja yakni cukup makan, pakai serta keperluan lain-lain,” jelasnya.

“Namun, ada yang tersalah tafsir hingga membuat andaian sendiri mungkin kerana gambar itu menyentuh emosi mereka,” tambahnya.

“Hakikatnya, gambar itu diambil tanpa sedar ketika saya sedang runsing selepas berlaku salah faham dengan pelanggan,” ujarnya.

“Terima kasih kepada yang prihatin tetapi saya berharap penjelasan ini memadai dan tidak lagi membuatkan warganet salah sangka,” sambungnya lagi.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, pekerjaan itu tidak mengganggu jadual persekolahannya kerana hanya dilakukan pada hujung minggu dan niatnya adalah untuk belajar berdikari, menimba pengalaman baru serta mencari duit poket.

“Sebelum ini, saya lihat beberapa orang rakan sebaya bekerja sebagai rider (penghantar makanan) dan ia mendorong untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya.

“Lagipun, peperiksaan sudah selesai dan saya pula mempunyai lesen motosikal, jadi mahu memanfaatkan masa terluang dengan bekerja daripada bermain telefon saja,” jelasnya yang berasal dari Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur.

Sumber: Harian Metro