Kementerian Pendidikan melalui Education Malaysia Australia telah mengesahkan bahawa tiada pelajar dari Malaysia terlibat dalam insiden tembakan rambang masjid di Christchurch, New Zealand.

Dr Maszlee Malik berkata, pelajar Malaysia berada di universiti masing-masing ketika kejadian berlaku.

“Terdapat dua universiti di Christchurch yang mempunyai pelajar Malaysia iaitu Canterbury University dan Lincoln University.

“Pihak Education Malaysia Australia telah berhubung dengan wakil pelajar Malaysia di kedua-dua universiti berkenaan dan mengesahkan jumlah pelajar Malaysia di Canterbury University seramai 270 orang, manakala Lincoln University seramai 33 orang” katanya di dalam satu kenyataan.

Dr Maszlee menasihati pelajar dan rakyat Malaysia yang tinggal atau berada di sekitar kawasan Christchurch untuk menjaga keselamatan.

“Sentiasa mengikuti perkembangan dan arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa” katanya.

Sumber: Sinar Harian