Walaupun mempunyai masalah penglihatan sejak lahir, kesungguhan seorang pelajar sekolah pendidikan khas mempelajari bacaan al-Quran bertulisan Braille sejak empat tahun lalu amatlah dikagumi.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Nasrin Nazrie, 10 tahun, itu turut memukau hadirin dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dalam satu majlis di Georgetown, semalam.

Menurutnya, dia mengalami penyakit saraf belakang mata rosak sejak lahir, maka pandangannya kabur dan tidak boleh membaca walaupun pada jarak dekat.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, dia mula belajar membaca al-Quran Braille sejak berusia tujuh tahun lagi dibantu oleh guru.

“Ibu dan bapa turut membantu, namun pengajaran itu terhad kerana mereka kurang mahir membaca tulisan Braille,” ujarnya.

“Kini saya sudah boleh membaca sehingga 27 juzuk dan berazam mahu khatam pada tahun depan,” jelasnya.

Nasrin ditemui pada Majlis Penyerahan Wakaf al-Quran Braille Digital di Tanjung Bunga, Georgetown.

Ujarnya, sumbangan naskhah al-Quran Braille Digital berkenaan amat dihargai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bersama adik bongsu, Nazhan, lima tahun, yang menghidap penyakit sama.

Difahamkan, Nazhan kini sudah belajar mengenal huruf asas dan dia lebih cepat belajar kerana minat membaca.

“Jika saya sudah mahir menggunakan al-Quran ini, bolehlah saya bantu Nazhan nanti, malah dapat membaca bersama di rumah,” sambung anak pasangan pekerja kilang dan suri rumah itu.

“Cita-cita saya mahu menjadi guru pendidikan khas supaya dapat membantu golongan senasib,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro