“Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa”, itulah perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan betapa kasihnya seorang ayah kepada anaknya.


Seorang pengguna laman Twitter, @asdfgh_jia atau mesra dipanggil Jia, berkongsi perbualan menyentuh hati antara dia dengan ayahnya dalam aplikasi Whatsapp.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu meminta kebenaran daripada ayahnya agar membenarkan dia bekerja sambilan sementara untuk mengisi masa lapang di Shah Alam tetapi ayahnya tidak bersetuju.

“Kalau ikutkan ayah, ayah tak bagi Jia kerja pun. Nanti cuti semester panjang kerjalah kat BPMall ke atau mana-mana kat BP. Pasal duit jangan fikir sangat, InsyaAllah ada rezeki kita anak beranak,” balas ayahnya.

Difahamkan, ayah Jia, Aripin Jelani, 50 tahun, sebab utama mengapa dia tidak membenarkan anaknya bekerja adalah kerana dia tidak mahu anaknya letih dan tiada masa ulangkaji.

“Sebenarnya ayah paling susah hati, cuma ayah jarang cakap,” ujar Aripin yang meminta Jia membuat solat sunat Taubat, solat sunat Hajat untuk meminta Allah tunjukkan jalanNya.

Pelajar berasal dari Batu Pahat, Johor, itu menitiskan airmata selepas membaca kiriman Whatsapp tersebut daripada ayahnya.

“Saya bersyukur dikurniakan ayah seperti ini, kami sekeluarga bukanlah jenis suka tunjuk kasih sayang menerusi kata-kata, tapi kami memang rapat,” katanya.

Sumber: Twitter @asdfgh_jia & mStar