Para pelajar institusi pendidikan tinggi(IPT) awam dan swasta bakal memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing, hari ini.

Untuk pengetahuan anda, langkah membawa pulang penuntut yang terkandas di kampus dan kawasan sekitarnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) diberi sedikit kelonggaran seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Khamis lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, menjelaskan bahawa penuntut yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

Difahamkan, persiapan rapi dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi dan Kementerian Pengajian Tinggi itu turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa penuntut dari pusat pelepasan di IPT yang sudah dikenalpasti.

Walau bagaimanapun, mereka yang terperangkap di kampung iaitu bukan pelajar atau tempat lain yang ingin pulang ke destinasi masing-masing, anda perlu terus bersabar.

Menteri Kanan(Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan tarikh pergerakan mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukanlah bermula pada 1 Mei ini.

Difahamkan, terdapat kekeliruan mengenai tarikh pergerakan itu apabila Polis Diraja Malaysia(PDRM) mengeluarkan kenyataan tarikh perjalanan pulang dibenarkan bermula 1-3 Mei depan.

Menurutnya, tarikh yang ditetapkan sehingga 1 Mei depan adalah pendaftaran melalui temujanji di balai polis selain pendaftaran melalui aplikasi Gerak Malaysia.

Tambahnya, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia akan membincangkan Prosedur Operasi Standard termasuk menetapkan tarikh pergerakan selepas mendapat data serta maklumat daripada permohonan orang ramai itu.

Sumber: Bernama & Harian Metro