Kisah seorang remaja yang hidup sebatang kara selepas kematian ibunya akibat kanser pada 10 Ogos 2018 yang lalu sangat menyayat hati. Namun, kasih sayang seorang anak kepada ibunya yang tersayang itu wajar dijadikan teladan bersama.

Kisah ini mula tular sejak Sabtu lalu, dimana remaja ini terpaksa mengorbankan waktunya sebagai pelajar dengan bekerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan harian beliau.

“Murid ni nama Haiqal, tingkatan empat. Mak ayah berpisah 13 tahun lepas. Jumaat lepas mak dia meninggal sebab sakit kanser. Sejak mak sakit, dia dengan abang dia kerja untuk sara hidup dan bayar sewa rumah RM850 sebulan,” menurut status yang dikongsikan oleh seorang guru, Siti Norhana di laman sosial Facebook, Jumaat lalu.

UPDATE; 20.08.2018Alhamdulillah berjaya juga bukakan akaun utk haikal.kepada sesiapa yang ingin beri sumbangan blh bg…

Posted by Siti Norhana on Thursday, 16 August 2018

Pelajar yang bernama Mohammad Haiqal Abdullah, 16, berkata kepada mStar, pada awalnya hanya dia bersama arwah ibu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mami’ tinggal di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, sebelum dipertemukan dengan abangnya yang terpisah lebih sedekad lalu.

Mohammad Haiqal memberitahu, dia bersama ibunya mendapat sumbangan ihsan menerusi bantuan jiran-jiran terutamanya selepas ibunya menerima rawatan penyakit kanser usus di hospital sejak awal tahun.

“Saya kemudian memutuskan untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan kami. Mami tahu saya bekerja, dia tidak melarang. Sebelum ini pun saya pernah bekerja secara sambilan dengan orang lain, tak banyak tapi dapatlah duit sikit.” Kata pelajar yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah di Ampang itu.

“Mami cuma berpesan supaya saya bijak membahagikan masa antara kerja dan pelajaran. Berkali-kali arwah pesan jangan abaikan pelajaran,” katanya.

Mohammad Haiqal bekerja separuh masa sebagai jurujual di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara dengan gaji antara RM500 sehingga RM600 sebulan. Sebaik sesi persekolahan tamat pada kira-kira pukul 1 petang, pelajar ini akan membuat persiapan untuk bekerja pula dari pukul 3 petang sehingga 10 malam.

Setelah selama lebih sebulan, Mohammad Haiqal telah mengambil tindakan drastik untuk berhenti bekerja untuk memberi tumpuan kepada pelajaran dan ibunya yang sakit.

“Sebelum ini, saya melawat Mami pada hari cuti, sebab bila pagi saya bersekolah, petang pula masuk kerja sampai malam, jadi waktu saya bersama Mami terhad. Jadi, saya ambil keputusan sendiri untuk berhenti kerja supaya dapat temankan Mami sampai ke malam, saya jaga dia, lapkan muka dan badan dia, tukar lampin dan suapkan dia makan. Saya buat selagi apa yang boleh,” katanya mengenai arwah ibunya yang dirawat akibat kanser dan kali terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Walaubagaimanapun, keputusannya untuk berhenti kerja tidak dimaklumkan kepada ibunya kerana dia tidak mahu menganggu emosi ibu yang amat dikasihinya itu, terutama selepas mendapat berita ibunya menghidap kanser tahap empat pada Mei lalu.

“Ketika itu, apa yang penting adalah Mami memerlukan sokongan moral terutama saya sebagai anaknya. Saya perlu ada bagi Mami kuat, jangan biarkan dia rasa sedih. Bila Mami makin tenat, Mami beritahu yang saya sebenarnya ada adik-beradik lain. Ada dua abang, masing-masing terpisah bersama keluarga angkat,” katanya sambil menambah dengan bantuan jiran yang berkongsikan pencarian itu di Facebook, dia dipertemukan dengan salah seorang abangnya, Mohammad Azmi, 17, akhir Jun lalu.

Sejak kisah Mohammad Haiqal menjadi tular sejak Sabtu lalu, beliau menerima banyak panggilan dan mesej daripada organisasi dan orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan, termasuk bantuan membayar sewa bulanan rumahnya sehingga akhir tahun.

“Syukur, alhamdulillah. Saya terharu lebih-lebih lagi membayangkan antara yang memberi sumbangan itu juga bukan daripada orang yang senang. Jasa kalian memberi semangat kepada saya. Arwah Mami berpesan supaya saya kuat meneruskan kehidupan dan sentiasa bersyukur,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohammad Haiqal boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 164388897312 atas nama Haikal b. Abdullah.

Sumber: mStar